Coretan 2 :
...
TERIMA KASIH SELAMATKAN SAYA
Oleh : Mohd Nasir bin Ahmad
...
Air sungai sungguh jernih, saya asyik melihat kawan-kawan mandi Sungai Jengka di Badak. Saya hanya berdiri didalam air separas dada ditepi sungai, untuk ikut kawan-kawan ketengah sungai tidak berani kerana saya tidak pandai berenang. Sementara itu kelihatan Wek duduk diatas titi yang merentangi sungai sambil memerhati budak-budak berenang.
Saya leka memerhatikan gelagat kawan-kawan dan tiba-tiba kaki saya tergelincir dan saya tidak lagi boleh mengimbangi badan. Terasa kaki tidak lagi jejak ke dasar sungai lalu kepala saya tenggelam sedikit dibawah paras air. Dalam keadaan sudah tenggelam-timbul itu tiba-tiba satu tangan menarik rambut saya lalu membawa ke tepi. Baru tahu rupanya saya telah diselamatkan oleh Munah anak Tok Aki Rashid. Kalau Munah tidak berada berhampiran dengan saya ketika itu mungkin saya telah lemas di Sungai Jengka. Saya merasa amat terhutang budi dengan Munah dan kalau tidak diselamatkan mungkin saya sudah tiada lagi pada hari ini.
Lebih kurang sepuluh tahun yang lalu sya pernah bertemu dengan Munah, katanya dia tinggal dirumah sewa di Batu Satu, Temerloh. Sekarang saya tidak tahu lagi dimana Munah berada.
Saya tidak ingat tahun bila peristiwa ini berlaku tetapi yang pastinya saya belum lagi bersekolah, mungkin disekitar tahun 1963. Ketika itu Jengka Tiga Segi belum ada lagi dan disebabkan itu air sungai begitu jernih hinggakan jika menyelam, boleh nampak dengan jelas pasir serta siput dan kijing di dasar sungai. Tetapi kini air Sungai Jengka sama seperti tea susu.
Terima kasih Munah kerana menyelamatkan saya.
----------------------------------------------------------------
Mak Long Munah bersama Pak Long kini menetap di Felda Jengka 23...
_________________________
.......
Coretan 1 :
...
PERGINYA AYAHANDA TERCINTA
Oleh : Mohd Nasir bin Ahmad
....
Hari itu Selasa 6 April 1965. Cahaya matahari petang masih terik, Wek duduk berihat diatas pelantar didepan rumah. Tiba-tiba mata tertumpu kearah pintu pagar jalan masuk dari arah jalanraya. Kelihatan Tok Aki Latip dan diikuti oleh Benggali pemandu lori balak ayah. Wek dah mula tak sedap hati dan mula merasakan sesuatu perkara buruk telah berlaku kerana sebelum ini Benggali itu tidak pernah pun datang kerumah.
Apabila telah menghampiri kami Tok Aki Latip memaklumkan bahawa ayah telah mendapat kemalangan ditimpa kayu balak ketika berkerja. Lalu Benggali itu memberitahu ayah hanya mendapat kecederaan sedikit sahaja dan jangan bimbang sekarang ada di hospital Kuantan. Kemudian Tok Aki Latip dan Benggali itu meninggalkan kami.
Tok tiada dirumah ketika itu mungkin Tok pergi ke Semuba atau ke Badak saya tak pasti. Apabila Tok balik Wek memaklumkan tentang kemalangan yang telah menimpa ayah. Malam itu Tok pergi meminjam duit dengan Tok Aki Gudang untuk buat belanja tambang pergi ke Kuantan esok.
Hari sudah beransur malam dan malam itu sampai kepagi Wek tidak dapat melelapkan mata dan sentiasa menangis walau pun Benggali itu kata ayah tercedera sedikit sahaja tetapi bila mengenangkan penangan kayu balak Wek tidak percaya dengan kata-kata Benggali tu.
Esoknya awal pagi lagi Wek telah kejutkan saya dan abang katanya nak pergi Kuantan tengok ayah. Seawal jam 8.00 pagi saya, abang, Wek, Tok dan Tok Achek telah menunggu bas ditepi jalan raya untuk pergi ke Hospital Besar Kuantan. Semua kereta yang lalu ditahan tetapi semuanya tidak mahu berhenti namun bas masih tidak kelihatan. Bas dan teksi ketika itu tidak banyak macam sekarang. Kira-kira pukul 10.00 pagi baru kami dapat menaiki kenderaan (saya dah tak ingat kami naik bas atau teksi).
Sampai di Setesen bas Kuantan (setesen bas tepi sungai sekarang) saya minum air batu cendul sebab dari pagi tadi tidak makan apa-apa, sementara Tok Achek telah pergi dahulu ke hospital. Wek suruh saya dan abang habiskan cepat cendul sebab nak pergi tengok ayah dalam hospital. Selepas siap minum cendul kami berjalan kaki ke hospital (HTAA sekarang).
Sampai dikawasan hospital tiba-tiba sebuah van ambulan berhenti berhampiran dengan kami dan pemandu ambulan keluar bersama Tok Achek. " Dah tak ada .. " pemandu ambulan itu memberitahu. Wek tergamam dan terus menangis dan meraung lalu memeluk pemandu ambulan itu. "Amatttt .... ngapa tinggalkan anok kecik-kecik lagi..." (Amat adalah sebutan nama ayah bagi Wek). Begitu lama nak menenangkan Wek disitu dan akhirnya kami dibawa ke Bilik Mayat hospital.
Kami diberitahu ayah meninggal dunia kira-kira pada pukul 8.00 malam didalam wad hospital dan diberitahu sebelum menghembuskan nafas yang terakhir ayah ada bercerita bahawa ayah mempunyai dua orang anak lelaki yang masih kecil.
Saya dan abang duduk di kerusi kayu diluar Bilik Mayat semantara Tok dan Tok Achek menguruskan kenderaan untuk membawa balik jenazah ayah. Pada mulanya minta ambulan tersebut tetapi tidak dibenarkan dan saya pun tak tau macamana akhirnya jenazah ayah dibawa balik menggunakan land rover Jabatan Kebajikan Masyarakat. Jenazah ayah diletakkan dikerusi panjang yang memanjang dibelakang land rover.
Sampai di kampung hari sudah semakin petang dan land rover berhenti di tepi jalan masuk ke rumah Tok Achek. Kelihatan saudara-mara dan orang kampung telah ramai berada di tepi jalan menunggu kami sampai. Setelah jenazah ayah diturunkan dari land rover pemandu itu meminta diri untuk balik semula ke Kuantan. Kami amat terhutang budi kepada pemandu land rover yang baik hati itu kerana dengan ikhlas sudi menghantar kami sampai ke kampung. Dan mungkin ketika ini pemandu itu telah kembali kepangkuan Ilahi dan saya mendoakan semoga rohnya ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman kerana beliau mempunyai hati yang mulia.
Ketika jenazah ayah dimandikan baru jelas kelihatan kecederaan yang ayah alami. Setelah simen yang membalut kaki kiri ayah dibuka kelihatan kecederaan yang ayah alami terlalu series dimana seakan kaki kirinyanya hancur dari hujung kaki sampai ke rusuk. Teringat sebagaimana Benggali pemandu lori balak beritahu semalam hanya sekadar untuk menyedapkan hati sahaja.
Selepas siap dikapan dan disembahyangkan malam itu juga jenazah ayah akan dikebumikan. Ketika jenazah dibawa turun dan berada dihalaman ruman Wek telah menyuruh saya dan abang menyusup dibawah jenazah ayah yang sedang diusung kata Wek supaya nanti tidak rindu. Kemudian jenazah ayah dibawa ke tanah perkuburan Kampung Jengka di Kampung Taman. Saya tidak ikut pergi ke kubur.
Kini telah beberapa dekad berlalu namun ianya masih segar dalam ingatan saya. Semoga roh ayah ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan semoga ayah damai di alam yang abadi.... Al-Fatehah !
.....